Sekapur Sireh

Di dalam kita beroleh keindahan dan ketenangan, terselit khazanah seni yang dianugerahkan oleh Allah kepada diri kita.....baik dari segi zahiriah mahu pun batiniah.....itu lah kesihatan.




Tuesday, June 1, 2010

Pengamal Perubatan Tradisional perlu berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari


JOHOR BAHARU, 11 Jan 2010 -- Semua pengamal perubatan tradisional perlu berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang bakal dibentuk tidak lama lagi sebelum mereka boleh mengamalkan kaedah perubatan itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya kini sedang menyiapkan rang undang-undang khusus bagi perubatan tradisional dan komplementari yang akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat tahun ini.

Di bawah undang-undang itu, mereka yang berdaftar dengan majlis itu akan diberi sijil pendaftaran sebagai bukti kelayakan sebelum boleh mengamalkan kaedah perubatan tradisional.

"Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari juga telah membangunkan e-Pengamal iaitu sistem untuk pengamal perubatan mendaftar secara talian dan setakat ini seramai 3,000 orang telah berbuat demikian.

"Saya menyeru semua pengamal perubatan itu supaya mendaftarkan diri di e-Pengamal kerana ia merupakan data penting bagi kementerian untuk merangka strategi baru demi kebaikan semua pengamal perubatan tradisional di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Perubatan Baru Kolej Selatan di sini Isnin.

Liow berkata pada masa ini pengamal perubatan berkenaan harus mematuhi undang-undang lain yang ditetapkan kementerian seperti Akta Ubat (Iklan dan Jualan), Akta Jualan Ubat, Akta Perubatan dan beberapa akta lain yang berkaitan.

Etika dan kod amalan yang baik juga perlu dipatuhi agar pengamal perubatan tradisional menjadi lebih profesional dan pada masa sama dapat mengurangkan aduan orang awam mengenai produk yang dikeluarkan mereka.

Beliau berkata Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari dengan kerjasama badan-badan pengamal dan Kementerian Pengajian Tinggi telah membangunkan piawaian dalam bidang perubatan tradisional Cina.

Setakat ini, Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan Kolej Universiti Inti telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menawarkan pengajian dalam bidang berkenaan, katanya.

-- BERNAMA





Diyakini orang kenamaan

JARI-JEMARI wanita separuh abad ini lincah mencari urat yang tersimpul di tubuh pesakitnya. Elusan jemarinya tampak lembut namun adakalanya boleh membuatkan orang yang diurut mengaduh kesakitan.

"Kalau urat tegang atau bersimpul, kuis dengan jari pun akan terasa sakit. Kalau urat sudah lembut, tekan kuat-kuat pun tak ada apa-apa," jelas tukang urut tradisional, Puziah Monil, 52.

Puziah yang mula mempelajari kemahiran mengurut daripada nenek dan bapanya sudah lebih 30 tahun menjadi tukang urut. Rumahnya di Batu 13, Puchong, Selangor sering saja menjadi tumpuan terutama pada hujung minggu.

Ada yang datang minta diurut tangan yang terseliuh, kaki terkehel dan tidak kurang wanita baru bersalin. Bahan yang digunakan untuk mengurut cuma minyak serai wangi yang adakalanya diadun sendiri oleh Puziah.

Berasal dari Felda Gedangsa, Tanjung Malim, Perak, Puziah hanya mengambil kursus mengurut secara formal di Kolej Komuniti Hulu Langat pada tahun 2007. Kursus Urutan Tradisional Melayu itu berlangsung selama setahun.

Apabila Unit Rawatan Tradisional dan Komplimentari (TCM) Hospital Putrajaya dimulakan pada Mac 2008, Puziah menjadi antara pekerja perintisnya.

"Mungkin sudah rezeki saya," katanya yang tidak menyangka seorang tukang urut tradisional sepertinya diambil bekerja di sebuah hospital serba moden yang terletak tidak jauh dari pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Hospital Putrajaya yang dibina di atas tanah seluas 30 hektar dengan kos RM300 juta mula beroperasi pada November 2000. Ia merupakan hospital kerajaan bertaraf kelas satu yang berkonsepkan Total Hospital Information System (THIS).

Unit TCM yang dimulakan sejak dua tahun lalu setakat ini menawarkan rawatan urutan tradisional, urut selepas bersalin, rawatan herba dan akupuntur. Selain Hospital Putrajaya, dua buah lagi hospital perintis kepada projek rawatan alternatif itu ialah Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang dan Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Sebagai pengamal urutan - nama jawatan Puziah di Unit TCM Hospital Putarajaya, beliau memberi khidmat urutan tradisional kepada pesakit-pesakit kronik seperti strok, sakit kepala, sakit belakang dan pelbagai penyakit yang berpanjangan.
Kerabat

Kesemua pesakit merupakan pesakit yang telah dirujuk oleh hospital, klinik kerajaan mahupun swasta. Antara yang paling kerap diurut Puziah adalah pesakit strok.

"Teknik urutan adalah berbeza. Lain sakit, lain pula cara urutan dan titik yang perlu diberi lebih tumpuan.

"Alhamdulillah, dengan jari ini, saya dapat membantu ramai pesakit untuk menikmati semula kehidupan seperti dahulu.

"Ia adalah momen yang sangat membahagiakan apabila melihat pesakit yang datang tanpa mampu mengangkat tangan tetapi apabila pulang sudah boleh melambai kepada saya.

"Ramai juga pesakit yang datang dengan berkerusi roda dan perlu dipapah, kini sudah boleh berjalan semula," ujarnya.

Kerjaya wanita berketurunan Jawa ini kini ternyata berbeza. Pesakitnya sekarang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, orang kenamaan dan tokoh korporat.

"Selain berubat cara moden, mereka nampaknya yakin dengan kaedah rawatan tradisional ini," kongsi Puziah.

Di unit rawatan ini jugalah Puziah mengenali secara dekat seorang kerabat diraja.

"Peluang mengurut baginda merupakan pengalaman yang sangat mengujakan. Apatah lagi baginda sampai sekarang berkenan untuk saya kembali mengurutnya di kediaman baginda pula," kata Puziah.

Beritahu Puziah, dalam bidang urutan, tiada istilah pangkat atau darjat. "Kalau urat itu perlu ditekan, saya memang akan tekan. Alhamdulillah setelah berapa sesi, baginda sudah boleh turun naik tangga dua tiga kali sehari," ujar Puziah ketawa.
Percuma

Pengarah Hospital Putrajaya, Dr. Nora'i Mohd. Said, berkata pembukaan Unit TCM secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada pesakit untuk mencuba kaedah rawatan tradisional sebagai sokongan kepada rawatan utama sedia ada.

"Bagi pesakit kanser misalnya, mereka perlu menjalani dua rawatan utama iaitu radioterapi dan kimoterapi yang boleh mengakibatkan rasa panas badan, demam dan tekak meloya.

"Pesakit disarankan untuk menjalani rawatan herba bagi meningkatkan kualiti hidup, merangsang sistem imun dan mengurangkan simptom yang berkaitan dengan rawatan kanser.

"Rawatan herba ini hanya rawatan sampingan dan pesakit masih perlu menjalani rawatan seperti yang disarankan oleh doktor," jelas Nora'i.

Tambahnya, rawatan tradisional di Unit TCM adalah dipantau dan lebih terjamin.

"Di sini, kami akan memeriksa tahap kesihatan pesakit sebelum membenarkan mereka menjalani rawatan tradisional.

"Misalnya, bagi pesakit strok yang mengalami tekanan darah tinggi, jika bacaan tekanan darah pada hari itu tinggi, dia tidak dibenarkan diurut kerana rasa sakit ketika diurut akan menaikkan lagi tekanan darahnya.

"Kesemua pengamal perubatan di unit ini adalah terlatih, berpengalaman serta berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Ubat herba mahupun minyak urut yang digunakan juga dipantau dan mendapat kelulusan daripada kementerian," kata beliau yang memberitahu semua rawatan yang diberikan adalah percuma. Pesakit tidak dikenakan sebarang caj rawatan. Sebaliknya, pihak hospital yang akan membayar kepada pihak pengamal.

1 comment:

  1. 1. KKPj ada 4 : KLINIK KESIHATAN PUTRAJAYA

    2. FPP & non-FPP = HPj : FULL PAYING PATIENT

    3. PBBR presint 8r3 : pusat bersalin berisiko rendah

    4. unit TCM = urut bersalin percuma

    ReplyDelete