Sekapur Sireh

Di dalam kita beroleh keindahan dan ketenangan, terselit khazanah seni yang dianugerahkan oleh Allah kepada diri kita.....baik dari segi zahiriah mahu pun batiniah.....itu lah kesihatan.




Saturday, April 3, 2010

Kitab Kasyful Asrar

Syeikh Muhammad Soleh Bin Abdullah Mangkabui

Bermula puji tertentu bagi Allah, Tuhan sekelian alam yang membukakan yang ghaib-ghaib bagi sekelian fakir kepada jalan yang betul (Amma ba’du) Telah meminta setengah saudaraku menghimpunkan akan beberapa masalah maka aku perkenankan akan dia bagi demikian itu dan jika ada aku tiada ahli bagi barang yang disalin itu sekalipun hal keadaan minta tolong dengan Tuhan yang amat kuasa yang memiliki memberi nkmat atas segala hambanya kerana harap aku dapat manfaatnya pada kemudian hari mahsyar maka aku carilah di dalam beberapa kitab arab dan bahasa jawi dengan sekira-kira dapatnya sebab aku orang jahil bebal kerana kurang ilmu aku buat masalah ini soal jawab supaya mudah fahamnya kepada orang yang kurang akalnya, aku mula masalah ini diambil daripada hadis Nabi Muhammad saw: Ertinya Bermula menuntut ilmu itu fardhu atas tiap-tiap muslim laki-laki dan muslim perempuan.

Soalan: Dan mana ilmu fardhu ain menuntut dia beri kami jawabnya.

Jawapan: Bermula ilmu yang fardhu ain menuntut dia itu iaitu tiga ilmu, yang pertama ilmu usulluddin dan kedua ilmu fekah dan yang ketiga ilmu tasauf.

Soalan: Dan mana had ilmu usulluddin yang fardhu menuntut dia dan mana had ilmu fekah yang fardhu menuntut dia dan mana had ilmu had ilmu tasauf yang fardhu ia menuntut dia.

Jawapan: Adapun had ilmu usulluddin itu yang fardhu menuntut dia itu iaitu mengetahui sekadar barang yang wajib dan barang yang mustahil dan barang yang harus kepada Tuhan kita dan seperti demikian itulah kepada segala Rasul sekira-kira yang mengsahkan alan imannya. Adapun had ilmu fekah yang fardhu ain menuntut dia iaitu dengan sekira-kira yang mengsahkan akan amalannya seperti mengetahui akan segala syaratnya dan segala rukunnya dan segala yang membatalkannya. Adapun had ilmu tasauf fardhu ain menuntut dia dengan sekira-kira mengetahui akan yang membatalkan akan pahala amal ibadahnya seperti riya’, sum’ah, ujub, takbur dan sebagainya yang dicela oleh syarak.

Kitab Faridatul Farai’d Fii Ilmi Iqa’id

Ahmad Ibni Muhammad Zain Bin Mustafa Bin Muhammad Al-Fatani

Dan telah bersalah-salahan ulama pada kafir (kaul dhaif) mukallad (orang yang makrifah tetapi tidak dapat mendatangkan dalil) itu ketiadaan kafirnya (mukallad) dan kaul yang sahih bahawasanya (mukallad) mukmin serta berdosa dengan sebab meninggalnya (mukallad) akan belajar dan pada fikir bicara jika adanya (mendatangkan hukum akal atau hukum dalil Al-Quran) daripada hal demikian itu.

Pada pandangan Hassan Asya’ari atas jalan faham akan Tauhid itu atas sifat dan zat Allah itu dengan 13 sifat.

Pada pandangan Abu Mansur Maturidi atas jalan faham hukum Tauhid itu adalah sifat dan zat Allah itu dengan 20 sifat.

Adapun kaul yang rajih itu adalah dari pandangan Hassan Asya’ari..

Dan 7 sifat yang tinggal (sifat maanawiyah) atas pandangan Hassan Asya’ari itu wajib diketahui atas jalan ijmal, tiada harus akan menafikan akan (sifat maanawiyah) dengan ijma’ kerana ia (sifat maanawiyah) setengah daripada segala perkara kamalat (sifat kesempurnaan) maka barangsiapa menafikan akan ia (sifat maanawiyah) jadilah ia akan kafir. Dan tiada wajib diketahuikan atas jalan tafsil jua.

Maka yang pertama, daripada 13 sifat itu Wujud. Ertinya Ada Allah dan dikehendaki dengan wujud itu Wujud yang zat (maujud yang tidak binasa atau hakiki) dengan makna bahawasanya Ada Allah Taala itu tiada memberi bekas oleh yang lainnya (tiada ada yang menjadikan) lagi yang tiada menerima adam (tiada), tiada pada sediakala dan tiada pada sentiasa dan Wujud itu sifat yang sabutiyah (sifat yang sebenar-benar Ada) yang menunjuk oleh bersifat dengan dia (Wujud) atas diri zat , tiada ia (sifat Wujud) makna yang lebih atas zat (atas dari zat) dan memadailah akan mukallaf bahawa mengetahui bahawa Allah Subhanahu wa Taala itu maujud sebagai wujud yang tiada tasawwur (tiada terima) pada akal akan ternafinya ( Wujud) dan wajib atas mukallaf mengetahuikan bahawa Wujudnya (Allah) itu ain zatnya (Allah) atau lain daripada zatnya (sifat maanawiyah Allah) kerana demikian itu setengah daripadanya (masalah yang dalam) dan mustahil lawannya (Wujud) iaitu adam ertinya tiada Ada. Dan dalil atas Wujud Allah Taala itu ialah segala makhluk ini kerana ia mumkin (yang kena jadi) ertinya patut ada dan patut tiada dan tiap-tiap mumkin itu tidak dapat tiada bahawa ada baginya (mumkin) yang mengadakan akan dia (mumkin) atau kerana ia (mumkin) baharu ertinya ada daripada ketiadaan dan tiap-tiap yang baharu itu tidak dapat tiada bahawa ada baginya (mumkin) yang membaharukan ia (mumkin) ertinya yang mengadakan ia kemudian. Jika datang soal atau iktirad (bangkangan) maka hendaklah engkau jawab daripadanya (bangkangan) atas jalan yang dituntuti (oleh syarak) adapun keadaan yang mengadakan itu namanya (nama Allah yang 99 adalah sifat) akan Allah dan lainnya (sifat maanawiyah) maka iaitu diketahuikan daripada khabar Rasulullah dan apabila sabitlah ada Allah Taala itu mustahillah atasnya (zat Allah) adam (tiada) nya (zat Allah) itu.

Friday, April 2, 2010

Isra' dan Mikraj dari AsSunnah

“Maha Suci Tuhan yang memperjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram sampai ke masjid Aqsha yang Kami berkati sekelilingnya supaya Kami perlihatkan keterangan-keterangan Kami kepadanya. Sesungguhnya Dia Mendengar lagi Melihat.“ (Al-Isra’ : Ayat 1)

Diriwayatkan oleh Imam Muslim: Berkata Al-Baihaqi: Bahawasanya Mi’raj (naiknya ke langit) berlaku pada malam Baginda diisra’kan (diberangkatkan pada waktu malam) dari Makkah ke Baitul Maqdis.

Ibnu Katsir menambah lagi: Bahawasanya apa yang diceritakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah benar yang tidak boleh disyak atau diragukan lagi.

“Demi bintang ketika terbenam, kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru, dan tiadalah yang diucapkannya (Al-Quran) kemahuan hawa nafsunya, ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat, yang mempunyai akal yang cerdas; dan (Jibril itu) menampakkan diri dengan rupa yang asli, sedang dia berada di ufuk yang tinggi, kemudian dia mendekat, lalu bertambah dekat lagi, maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak) dua hujung busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu dia menyampaikan kepada hambaNya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan. Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya. Maka apakah kamu (musyrikin Mekah) hendak membantahnya tentang apa yang dilihatnya? Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (yaitu) di Sidratul Muntaha, di dekatnya ada syurga tempat tinggal (Jannatul Ma’wa), (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh tanda sesuatu yang meliputi, penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya, sesungguhnya dia melihat sebahagian -tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.“ (Surah An-Najm : Ayat 1-18)

“Dan bahawasanya kepada Tuhanmu lah kesudahan (segala sesuatu).“ (Surah An-Najm : Ayat 42)

Imam Bukhari telah mengeluarkan sebuah Hadis dari riwayat Ikrimah daripada Ibnu Abbas R.A. mengenai firman Allah taala yang berikut:

“Dan tiadalah mimpi yang Kami memperlihatkan engkau itu, melainkan menjadi ujian bagi manusia.“ (Al-Isra’ : Ayat 60)

Berkata Ibnu Abbas: Iaitu peristiwa yang diperlihatkan kepada Rasulullah S.A.W dengan mata kepala pada malam ia diisra’kan.

At-Tabarani telah mengeluarkan di dalam Kitab Al-Awsath dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Abbas; iaitu beliau telah berkata: Sesungguhnya Muhammad S.A.W telah melihat Tuhannya dua kali. Sekali dengan pandangan mata dan sekali lagi dengan pandangan hati.

Seterusnya At-Tabarani telah mengeluarkan juga daripada Ibnu Abbas, katanya: Muhammad telah melihat Tuhannya. Maka disampuk oleh Ikrimah, bertanya untuk mempastikan: Apakah Muhammad telah melihat Tuhannya dengan mata kepala? Jawabnya: Benar. Tuhan telah memberikan keistimewaan kepada Musa untuk berkata-kata denganNya, memberi keistimewaan kepada Ibrahim menjadi khalilullah (Orang kepercayaan Allah), dan memberi keistimewaan kepada Muhammad untuk melihatNya.

Al-Baihaqi telah mengeluarkan di dalam Kitab Ar-Ru’ya dengan lafaz: Sesungguhnya Allah Taala telah mengutamakan Ibrahim menjadi Khalilullah, mengutamakan Musa dengan berkata-kata kepadaNya, dan Muhammad S.A.W. diberi keutamaan untuk melihatNya.

Imam Ahmad telah mengeluarkan dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Abbas, katanya: Telah berkata Rasulullah S.A.W. : Aku telah melihat Tuhanku Azza Wajalla.

Al-Bazzar telah mengeluarkan sebuah Hadis menerusi riwayat Qatadah daripada Anas R.A., berkata: Bahawasanya Muhammad S.A.W. telah melihat Tuhannya Azza wajalla dengan mata kepala.

Dan daripada Ibnu Mardawaih telah mengeluarkan melalui Qatadah daripada Anas R.A. : Bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W. telah difardhukan solat pada malam Baginda diisra’kan.

Demikianlah, ringkasan riwayat mengenai Isra’ dan Mikraj yang diberitakan oleh As-Sunnah (Al-Hadis) yang menguatkan Al-Quran tentang peristiwa yang mulia itu.