“Maha Suci Tuhan yang memperjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram sampai ke masjid Aqsha yang Kami berkati sekelilingnya supaya Kami perlihatkan keterangan-keterangan Kami kepadanya. Sesungguhnya Dia Mendengar lagi Melihat.“ (Al-Isra’ : Ayat 1)
Diriwayatkan oleh Imam Muslim: Berkata Al-Baihaqi: Bahawasanya Mi’raj (naiknya ke langit) berlaku pada malam Baginda diisra’kan (diberangkatkan pada waktu malam) dari Makkah ke Baitul Maqdis.
Ibnu Katsir menambah lagi: Bahawasanya apa yang diceritakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah benar yang tidak boleh disyak atau diragukan lagi.
“Demi bintang ketika terbenam, kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru, dan tiadalah yang diucapkannya (Al-Quran) kemahuan hawa nafsunya, ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat, yang mempunyai akal yang cerdas; dan (Jibril itu) menampakkan diri dengan rupa yang asli, sedang dia berada di ufuk yang tinggi, kemudian dia mendekat, lalu bertambah dekat lagi, maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak) dua hujung busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu dia menyampaikan kepada hambaNya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan. Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya. Maka apakah kamu (musyrikin Mekah) hendak membantahnya tentang apa yang dilihatnya? Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (yaitu) di Sidratul Muntaha, di dekatnya ada syurga tempat tinggal (Jannatul Ma’wa), (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh tanda sesuatu yang meliputi, penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya, sesungguhnya dia melihat sebahagian -tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.“ (Surah An-Najm : Ayat 1-18)
“Dan bahawasanya kepada Tuhanmu lah kesudahan (segala sesuatu).“ (Surah An-Najm : Ayat 42)
Imam Bukhari telah mengeluarkan sebuah Hadis dari riwayat Ikrimah daripada Ibnu Abbas R.A. mengenai firman Allah taala yang berikut:
“Dan tiadalah mimpi yang Kami memperlihatkan engkau itu, melainkan menjadi ujian bagi manusia.“ (Al-Isra’ : Ayat 60)
Berkata Ibnu Abbas: Iaitu peristiwa yang diperlihatkan kepada Rasulullah S.A.W dengan mata kepala pada malam ia diisra’kan.
At-Tabarani telah mengeluarkan di dalam Kitab Al-Awsath dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Abbas; iaitu beliau telah berkata: Sesungguhnya Muhammad S.A.W telah melihat Tuhannya dua kali. Sekali dengan pandangan mata dan sekali lagi dengan pandangan hati.
Seterusnya At-Tabarani telah mengeluarkan juga daripada Ibnu Abbas, katanya: Muhammad telah melihat Tuhannya. Maka disampuk oleh Ikrimah, bertanya untuk mempastikan: Apakah Muhammad telah melihat Tuhannya dengan mata kepala? Jawabnya: Benar. Tuhan telah memberikan keistimewaan kepada Musa untuk berkata-kata denganNya, memberi keistimewaan kepada Ibrahim menjadi khalilullah (Orang kepercayaan Allah), dan memberi keistimewaan kepada Muhammad untuk melihatNya.
Al-Baihaqi telah mengeluarkan di dalam Kitab Ar-Ru’ya dengan lafaz: Sesungguhnya Allah Taala telah mengutamakan Ibrahim menjadi Khalilullah, mengutamakan Musa dengan berkata-kata kepadaNya, dan Muhammad S.A.W. diberi keutamaan untuk melihatNya.
Imam Ahmad telah mengeluarkan dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Abbas, katanya: Telah berkata Rasulullah S.A.W. : Aku telah melihat Tuhanku Azza Wajalla.
Al-Bazzar telah mengeluarkan sebuah Hadis menerusi riwayat Qatadah daripada Anas R.A., berkata: Bahawasanya Muhammad S.A.W. telah melihat Tuhannya Azza wajalla dengan mata kepala.
Dan daripada Ibnu Mardawaih telah mengeluarkan melalui Qatadah daripada Anas R.A. : Bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W. telah difardhukan solat pada malam Baginda diisra’kan.
Demikianlah, ringkasan riwayat mengenai Isra’ dan Mikraj yang diberitakan oleh As-Sunnah (Al-Hadis) yang menguatkan Al-Quran tentang peristiwa yang mulia itu.
Friday, April 2, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)