Sekapur Sireh

Di dalam kita beroleh keindahan dan ketenangan, terselit khazanah seni yang dianugerahkan oleh Allah kepada diri kita.....baik dari segi zahiriah mahu pun batiniah.....itu lah kesihatan.




Monday, March 29, 2010

Urut Tradisional Melayu jadi tumpuan di Dubai

Urutan Tradisional Melayu Jadi Tumpuan Di Pameran Pelancongan Di Dubai

Oleh Muin Abdul Majid

DUBAI, 7 Mei (Bernama) -- Tukang urut tradisional Melayu, Mahdi Faozi Barakbah dan Pauziah Mat Jani, adalah antara orang paling sibuk di gerai pameran, Malaysia Pavilion yang diwujudkan pada pameran pelancongan, Arabian Travel Market (ATM) 2009 yang sedang berlangsung di sini.

Dibawakan khusus oleh Tourism Malaysia untuk diperkenalkan kepada dunia urutan tradisional Melayu, kepakaran kedua-dua tukang urut itu mendapat perhatian pengunjung perdagangan dan para pempamer yang sanggup berbaris untuk mendapatkan urutan di kepala, belakang badan dan kaki.

Bercakap kepada Bernama, Mahdi, 39, yang dilahirkan di Kedah memuji agensi pelancongan negara kerana memperkenalkan urutan Melayu dalam acara seumpamanya kerana ia akan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan pelancong asing mengenai kewujudan seni urut tradisional di Malaysia.

"Setiap kali saya ke luar negara, saya sering berasa cemburu melihat bagaimana urutan dari negara-negara jiran seperti Thailand mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

"Saya berpendapat bahawa dengan situasi yang betul, urutan tradisional Melayu boleh menjadi terkenal dan menarik ramai pelancong asing ke Malaysia, kata Mahdi, seorang perunding kanan di sebuah syarikat dikenali sebagai Tongkat Tua Entreprise, yang khusus menggubal dan melaksanakan program latihan dalam urutan tradisional Melayu dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.

Mahdi dan Pauziah, rakan kongsi perniagaannya, bercerita tentang gelagat pelanggan mereka di pameran pelancongan di Dubai yang mendesak supaya diurut lebih lama daripada kebiasaaan selama lima hingga 10 minit.

Mahdi pernah menyertai acara seumpamanya anjuran Tourism Malaysia di Jepun dan Jerman.

Menurut beliau, pada masa ini terdapat kira-kira 500 tukang urut Melayu yang berdaftar dengan Persatuan Urutan Tradional Melayu Malaysia) dan Mahdi merupakan presidennya.

Beliau berkata ramai daripada mereka beroperasi di kampung-kampung, menyukarkan pelancong asing untuk mencari mereka.

"Kami berbincang dengan Kementerian Kesihatan bagaimana kami boleh mewujudkan pusat khusus di lokasi strategik untuk mudah dikunjungi," kata Mahdi, yang telah melatih lebih 1,000 orang dalam seni urut tradisional Melayu menerusi kursus jangka pendek di kolej-kolej komuniti di seluruh negara.

Terdapat empat jenis urut tradisional Melayu, iaitu urutan kesihatan, urutan perubatan, urutan bersalin dan urutan tenaga batin.

Urutan-urutan berkenaan membantu pengedaran darah, mengurangkan kesakitan otot, menggalakkan sistem pertahanan lebih baik dan memberikan posisi tubuh yang baik dan mengurangkan tekanan serta membantu untuk merehatkan badan.

Pauziah, yang menetap di Puchong dan mengusahakan pusat kecantikan, berkata ini adalah penyertaan sulungnya dalam acara anjuran Tourism Malaysia dan berasa amat teruja dengan sambutan yang diterima terhadap urutan Melayu.

"Saya boleh nampak terdapat peluang bagi perniagaan ini dimajukan di dunia sebelah sini kerana orang Arab kelihatan begitu teruja dengan urutan Melayu," katanya.

Pauziah berkata beliau turut menyediakan urutan selepas bersalin yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat Cina di Malaysia.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment